Rasulullah SAW bersabda : “Sesungguhnya hati itu benar-benar bisa berkarat seperti berkaratnya besi.’ Selanjutnya beliau bersabda, ‘Apa yang dapat membersihkannya? Mengingat kematian dan membaca Al-Qur’an”. (HR. Baihaqi)

Demi Masa


I made this widget at MyFlashFetish.com.

Sunday, August 14, 2011

Cinta Seorang Playboy Itu,,,,,,,

Zaman remaja sememangnya zaman yang indah dan bahagia buat dia. Zaman di mana dia dipuja dan dipandang tinggi oleh wanita-wanita di sekelilingnya. Dia tersenyum bangga. Berbekalkan wajah yang sempurna, ketinggian yang mantap dan bentuk tubuh yang bisa menambat hati gadis-gadis, dia begitu selesa dengan kehidupannya. Hatinya kini milik seribu wanita yang bergelar 'hawa'.

Untuk apa dia setia? Sedangkan rakan-rakannya yang lain kerap dipermainkan wanita walaupun mereka setia. Ada yang sanggup berhabis wang ringgit untuk teman wanita, akhirnya apabila sudah kopak, gadis tersebut meninggalkan mereka terkontang-kanting. Dia sendiri pun apa kurangnya. Sudah dua kali dia dicurangi makhluk yang bergelar kaum hawa itu walaupun dia telah korbankan segala kesetiaan dan kepercayaan kepada mereka.

Sudah dua kali juga dia menetapkan bahawa merekalah yang bakal menjadi permaisuri hidupnya tetapi sesungguhnya semua itu hanyalah sia-sia. Sekarang dia tersenyum puas. Puas kerana dapat mempermainkan hati lima gadis serentak! Dania, Ida, Zurin, Rushaida dan Lisya semuanya dia taburkan dengan janji-janji dan kasih sayang palsu. Andai salah seorang daripada mereka tidak berpuas hati pun dia tidak peduli. Asalkan dia bahagia melihat gadis-gadis tersebut terulit dibuai janji kosong.

Cuaca pagi itu tenang dan damai. Burung-burung bahagia berkicauan. 'Mungkin burung-burung tu pun bahagia sebab ramai awek,' bisik hati kecilnya. Dia tersenyum riang. Hari ini merupakan hari pendaftaran degree untuk pelajar junior. Jika bernasib baik, mungkin akan adalah seorang 'awek' cun tersangkut kat dia lagi. Sedang dia berdiri memerhati gerak-geri junior-junior yang kebanyakannya comel-comel belaka, pandangannya terhenti kepada salah seorang gadis ayu yang sedang duduk memerhatikan jam tangan di tepi kaunter pendaftaran kolej kediaman. Di dalam hatinya, itulah gadis yang bakal menjadi mangsanya seterusnya.

Sejak hari pendaftaran itu, dia bersungguh-sungguh mendapatkan serba sedikit maklumat mengenai gadis tersebut daripada rakan-rakannya dan junior. Hatinya menjadi lebih panas apabila mendapat tahu bahawa gadis tersebut merupakan seorang gadis yang sering mempermainkan perasaan lelaki. Hatinya melonjak untuk mengenali gadis tersebut agar dia dapat mempermainkan gadis tersebut pula! Dia cuba memulakan langkah untuk berkenalan dengan gadis tersebut. Dia mengatur ayat-ayat manisnya yang sememangnya tidak pernah gagal menjerat hati seorang gadis. Setelah seminggu lebih menjengah khabar berita daripada rakan-rakan dan junior, dia berjaya juga mengetahui serba sedikit tentang gadis itu.

Namanya tidaklah seglamour wajahnya. Bukan Aleesya, Aleefa atau Natasya. Nama-nama tersebut adalah nama-nama biasa gadis-gadis cun yang dikenalinya selama ini. Tetapi kali ini, nama gadis yang cuba dikenalinya ini sungguh dalam maknanya. Gadis yang bernama Halimahtussaadiyah ini berasal dari Selangor. Setelah menaburkan ayat-ayat manis seperti biasa, tepat pada tarikh 8 Julai 2004, termaktublah bahawa mereka secara rasmi sudah menjadi sepasang kekasih.

Allah S.W.T  Yang Maha Berkuasa  tahu apa yang terbaik buat hamba-hamba-Nya. Dengan termeterainya perhubungan itu, niat yang pada mulanya berunsur khianat telah bertukar sepenuhnya. Perkenalan itu menjadikan mereka kenal akan erti kesetiaan, kasih sayang dan cinta. Tiada lagi istilah playboy dan playgurl dalam diri mereka. Tiada lagi istilah curang, khianat atau mempermainkan hati masing-masing. Dia telah pun memohon ampun dan maaf kepada bekas-bekas kekasihnya di saat zaman playboy nya dahulu. Hatinya kini terpaut kepada Halimahtussaadiyah seorang dan dia tidak berniat untuk bermain-main lagi dalam percintaan.
Episod-episod bahagia telah menjengah hari-hari mereka berdua. Dia yakin pada kata hati bahawa Halimahtussaadiyah lah yang sebenar-sebenarnya jodoh kurniaan Allah S.W.T baginya. Mereka bagaikan belangkas. Ke mana sahaja pasti bersama.

Tetapi lama kelamaan perkara ini menjadi masalah buat mereka. Akibat selalu kelihatan berdua-duaan, mereka telah dipanggil oleh jawatankuasa perwakilan Persatuan Rohani IPTA. Ketika itu mereka tersedar bahawa mereka telah melakukan dosa yang menghampiri fitnah dan zina. Walaupun setakat ini, mereka masih mengawal perilaku mereka, perkara sebegini masih haram di dalam Islam. Sedangkan ber-couple itu juga adalah haram apatah lagi berdua-duaan. Astagfirullahalazim!

Namun mereka sudah terlalu mencintai antara satu sama lain. Setelah berbincang dengan ibu bapa masing-masing, mereka mengambil keputusan untuk bertunang dan bernikah. Bukan mudah untuk meyakinkan ibu bapa pada mulanya namun, mereka tetap bersungguh agar tidak dipisahkan. Maka, tanggal 3 September 2005, mereka pun bertunang. Ketika majlis pertunangan dilangsungkan, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk memilih tarikh pernikahan pada bulan Disember 2005 iaitu pada tahun yang sama agar dapat mempercepatkan urusan membina masjid tersebut. Selepas bertunang, mereka semakin menjaga batas pergaulan mereka. Mereka tidak lagi kerap berjumpa kecuali jika terdapat urusan-urusan penting yang terpaksa mereka selesaikan bersama. Namun di dalam hati, masing-masing terasa sangat berdebar-debar menanti ketibaan hari yang ditunggu-tunggu.

Tetapi kata orang, kita cuma mampu merancang. Allah juga yang Maha Menentukan. Tanggal 21 September 2005, iaitu hanya beberapa minggu selepas mereka bertunang, hadirlah suatu peristiwa yang tidak akan pernah dia lupakan selamanya. Tarikh itulah, tarikh dimana nyawa Halimatuhsaadiyah diragut kerana kemalangan jalan raya di Lebuhraya Elite sebaik pulang daripada rumahnya kerana terdapat perbincangan mengenai persiapan perkahwinan. Halimatussaadiyah meninggal dunia di Hospital Besar Kuala Lumpur tepat pada jam 9.30 malam itu. Kemalangan ngeri itu telah mengakibatkan gegaran otak yang kuat dan menyebabkan pendarahan di dalam kepalanya. Dia yang turut terlibat di dalam kemalangan tersebut hanya patah kaki dan koma selama beberapa jam namun, oleh kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan, dia tidak dapat hadir ke pengebumian Halimatussadiyah, seorang gadis yang amat dia cintai.

Saat dia sedar daripada koma, soalan pertama yang terbit dibibinya ialah di mana Halimahtussaadiyah dan bagaimana keadaannya? Bagi mengelak kejutan yang teruk dan atas nasihat doktor, ibu bapanya terpaksa menipu dengan mengatakan keadaan Halimahtussaadiyah stabil dan sedang dirawat di Hospital Besar Kuala Lumpur.

Hari ke enam pada bulan Ramadhan, dia akhirnya dikeluarkan daripada hospital. Sepanjang berada di rumah, dia kerap bertanyakan perihal Halimahtussaadiyah namun, ibu bapanya hanya mampu berdiam diri kerana takut terjadi perkara yang tidak diingini padanya. Akhirnya, ibu bapanya terpaksa meminta bantuan daripada ibu bapa Halimahtussaadiyah untuk membantu mereka memberitahu akan khabar berita bahawa Halimahtussaadiyah telah pun kembali ke rahmatullah dan telahpun selamat dikebumikan. Sebaik mengetahui bahawa gadis yang dicintainya itu telah pun kembali pada Tuhan yang Maha Esa, hidupnya menjadi semakin tidak keruan. Dia tidak mahu makan, tidak mahu mandi dan asyik menghabiskan waktunya dengan menangis dan meratapi nasib. Hidupnya seakan-akan tidak terurus lagi. Pelajarannya ditinggalkan begitu sahaja.

Tetapi kisah dukanya tidak hanya terhenti di situ. Setelah tiga minggu mengetahui berita bahawa Halimatuhsaadiyah telah meninggalkannya selama-lamanya, dia mengalami masalah hilang ingatan akibat terlalu stress dan terlalu banyak berfikir. Ibu bapanya sudah puas menghantarnya menjalani rawatan di hospital-hospital pakar dan bertemu dengan ustaz-ustaz yang boleh mengubatinya namun masih tidak berhasil. Inilah ujian daripada Allah. Mungkin Allah S.W.T hanya akan mengizinkannya untuk mendapatkan kembali memorinya setelah dia tenang dan redha dengan pemergian Halimatuhsaadiyah. 
Alhamdulillah setelah berusaha tanpa jemu, akhirnya pada pertengahan bulan Mac pada tahun 2008, iaitu lebih kurang 2 tahun lebih selepas kejadian tersebut, ingatan dia kembali pulih seperti biasa. Ketika itu, dia telah redha dengan pemergian bekas tunangnya dan berdoa agar roh Halimatuhsaadiyah ditempatkan di kalangan orang-orang beriman..

Sekarang, dia hanya meneruskan kehidupannya seperti biasa walau pedih untuk ditanganinya. Dia pernah bercerita, di dalam mimpinya arwah pernah hadir dan mengucapkan kata-kata yang telah membuatkan dia tersedar dan melaksanakan apa yang sepatutnya dia lakukan. Di dalam mimpi tersebut, arwah telah memintanya agar tidak berterusan bersedih hati dan terus mencapai impian merealisasikan cita-citanya.
Ajaib bukan? Seorang playboy bertukar menjadi seorang yang setia kerana kehendak-Nya. Seorang playboy diuji oleh Allah untuk menghapus dosa-dosanya. Jika selama ini dia menguji hati gadis-gadis yang dipermainkannya, kini hidupnya sarat dengan ujian Allah yang Maha Berkuasa. Allah menjadikan sesuatu pasti ada hikmahnya. Dipinjamkan oleh-Nya intan permata namun bisa ditarik bila-bila yang dikehendaki-Nya.

Bila Cinta Berputik. Adakah Dia Jodohku???

"Tiada terfikir,
Terlintas Engkau akan tiba,
Membawa perangsang.

Tiada terfikir, Terlintas,
Engkaukan membuka,
Sempadan perasaan.

Bunga kembang bertali hati, Bunga kembang di puncak akli"

Begitu indah cinta, membawa perasaan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Akan tetapi diluah melalui boneka jasad serta lirikan mata, lidah kelu diam seketika, jantung berdegup pantas tidak mencemaskan tetapi indah.

Remaja pada awalan usia mereka merasakan diri mereka ingin dicintai dan ingin mencintai. Akhirnya mencari cinta. Cinta pada usia muda yang sering digelar cinta monyet.

Tidak kurang pula ketika mereka melangkah ke menara gading. Mitos memaksa mereka mencari pasangan sebelum mendaki anak tangga pentas konvokesyen, kononnya, menara gading tempat mencari pasangan hidup yang akan hidup bersama mereka selepas graduasi.
Akan tetapi, alangkah sedihnya cinta yang berputik dan berbunga-bunga akhirnya tewas, melebur membentuk luka yang pedih dan sakit. Sesak nafasnya!

Lebih teruk kesannya jika apabila mereka sedar (meskipun tidak mengakui atau tidak menunjuk) bahawa perjalanan kisah cinta mereka telah pun melangkaui batasan agama, bersentuhan, berkucupan, berkhalwat dan terlanjur. Malu dan kesal serta sedih kerana diri telah menjadi tidak suci dan kotor, akan tetapi orang yang bersama-sama untuk berkongsi kotor dan jijik tidak lagi bersama. Risau pula jika perbuatan mereka dikhabarkan.

Yang nyata dan pasti, kamu tidak terlepas dari pandangan Allah dan Allah mengetahui perbuatan kemungkaran kamu. Taubatlah!

Jika kamu merasakan dia jodohmu, adakah dia mengajak kamu kepada kebaikan lebih banyak daripada membawa kamu kepada kemungkaran?

Oleh sebab itu, saya ingin mengajak para adik-adik untuk berfikir sejenak apakah niat kita bercinta dan di mana kita mahukan ia berakhir? Terutamanya adik-adik yang bakal bergelar graduan.

Ketika cinta kamu berputik pada si dia dan kamu sendiri mengakui di dalam hati kamu bahawa kamu ada rasa sayang pada dia, dan hati kamu punya rasa cinta padanya, renung seketika, di mana kamu ingin meletakkan cinta Allah yang jauh lebih hebat dari dia.

Jika cinta Allah lebih kamu sayang, letaklah cinta Allah sebagai batasan pergaulan kamu.

Apabila kisah cinta mula melorot dari satu episod ke satu episod yang lain. Renung kembali apa salahnya kamu pada Allah dan apa ajarannya telah kamu ikuti?

Pada ketika itu, fikirlah adakah pernikahan yang kamu cari atau hanya suka-suka? Jika suka-suka, tiada cinta yang berharga dari kamu dan untuk kamu. Jika pernikahan yang kamu cari, maka tidak usahlah buang masa lagi. Dekatilah pernikahan kerana kamu perlu mencari keredhaan Allah.

Bersama keredhaan Allah, langkah-langkah kamu menghampiri pernikahan sangat mudah jadinya. Kadang-kala di luar jangkaan kamu. Namun, jika dugaan yang datang, tabahkan hati tetapkan niat kamu untuk mencapai keimanan yang lebih baik melalui pernikahan.

Kerapkan menunaikan solat sunat tahajjud dan istiqarah. Mohonlah ditunjukan jalan dan memastikan dialah jodoh kamu. Jika tidak diilhamkan bahawa dia adalah jodoh kamu, terima qada Allah, teruskan kehidupan dan persahabatan, serta carilah pasangan yang bakal menjawab istiqarah sebagai jodoh kamu.

Jauhi dari hati yang makin berbunga dan berputik cinta walhal kita sebenarnya jauh dari jodoh. Itu hanya melukakan hati yang sangat lembut ini.

Cinta sesama manusia tentu tidak setanding dengan cinta dari Allah S.W.T, tetapi, kerana cintakan Allah, kita mencintai manusia juga.

Tuesday, August 2, 2011

Indahnya Cinta Selepas Pernikahan

Setelah sekian lama hidup dibelenggu rasa cinta nafsu, hidup sebagai remaja yang tidak ada hala tuju matlamat kehidupan. Saya disedarkan oleh Allah SWT dengan hidayah dan limpahan kasih-Nya.

Syukur kehadrat Allah Taala yang selalu mencintai kita dan mengasihi kita. Indahnya juga hidup yang penuh dengan syariat dan landasan hukum dan garisan keimanan. Entah bagaimana lagaknya hidup ini jika terus dilimpahi nafsu yang tidak berkesudahan.

Lumrah kehidupan ingin berkasih sayang. Lumrah sebagai remaja ingin ada pendamping. Tanyalah kepada siapapun, remaja utamanya, apa erti cinta?

Bagi mereka, cinta itu indah. Cinta itu lazat. Pelbagai tafsiran tentang cinta jika ditanya kepada para remaja di luar sana. Begitu da'if pendapat mereka tentang cinta. Saya, salah seorang daripada pencinta yang suatu ketika dahulu hanya memikirkan tentang keseronokan, kesunyian, hiburan dan teman-teman. Tidak ada cinta bersandarkan agama dalam jiwa. Jauh sekali mengingati dengan DIA yang memberikan rasa cinta itu.

Bukan mudah menerima tamparan dalam hidup bagi remaja yang putus cinta. Rasa mahu bunuh diri, menjauhkan diri dari kelompok manusia lain, sehingga terfikir mahu membunuh seseorang!

Inilah penyakit nafsu dan derita hati. Hati dan nafsu tidak bersandarkan akal. Allah SWT telah memberikan kita akal, iaitu salah satu kelebihan yang tidak ada pada hidupan lain. Sebagai manusia, kita sepatutnya menggunakan akal 100% dalam kehidupan. Allah SWT berfirman :

"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan (pada) pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang yang berakal." (Surah Ali 'Imran 3 : 190)

Saya sudah bernikah dengan seorang lelaki yang tidak saya kenali. Setelah putus cinta dengan lelaki yang dahulunya amat saya cintai (cinta yang tidak berlandaskan agama Allah). Saya membuat keputusan untuk bernikah kerana akal. Setelah berfikir dan menganalisis segala dosa dan kesalahan yang pernah saya lakukan, saya menunaikan umrah pada usia yang muda (25 tahun) dan pada waktu itu, tidak ada lain melainkan saya mencari reda Allah SWT dalam cinta yang terlalu saya inginkan. Setelah menunaikan solat hajat beberapa malam berturut-turut dan saya membaca Surah Yaasin beberapa malam berturut-turut (atas nasihat seorang ustaz di kampung halaman, imam masjid yang juga sahabat baik ayahanda tercinta).

Hakikatnya, segala yang kita inginkan dalam dunia ciptaan-Nya ini perlu kita mohon daripada-Nya. Tidak ada kuasa lain yang Maha Memberi kecuali Dia. Saya berdoa bersungguh-sungguh, memohon sebuah cinta yang suci dan tidak berlandaskan nafsu. Kuasa Allah Taala tidak siapa yang tahu.

Saya berkenalan dengan seorang lelaki yang sedang menyambung pelajaran di Australia. Setelah tiga hari berbalas mesej, mesej yang hanya bertanya khabar dan bertanya tentang kerja-kerja dan pelajaran, timbul persoalan tentang perkahwinan. Jawab saya, hanya bonda dan ayahanda bisa menjawab tentang pernikahan. Lalu, dihantar kedua ibu dan bapanya merisik pada Jun 2010. Maka termetrailah ikatan janji pernikahan Disember 2010.

Sekelip mata, zat Yang Esa sangat saya kagumi. Tidak pernah terlintas dalam hati ingin bernikah dengan seorang lelaki yang tidak dikenali. Dalam hati berniat, biarlah jalinan cinta terukir setelah ijab dan qabul diucap dan dibalas.

Tidak terkata betapa cerianya saya ketika hari berlangsungnya pernikahan. Tidak sedikitpun hati berdetak ragu dengan cinta dan kasih pemberian Allah Taala ini. Hakikatnya, cinta suci dan halal ini lebih indah untuk kita kecapi.

Saya sebagai insan yang lemah, pernah melakukan dosa dan diri masih dihinggapi noda silam. Saya ingin menyeru kepada semua remaja yang masih belum ada pasangan halal, ketahuilah, cinta sebelum bernikah, yang melanggar prinsip Allah SWT, merupakan jalan hidup yang sia-sia.

Tidak ada konsep cinta kekasih dalam Islam. Jika sahabat-sahabat sekalian seorang yang sangat beriman, dan dapat menjaga batas dalam pergaulan cinta lelaki dan perempuan, tahniah saya ucapkan! Jangan sekali-kali mendekati zina! Biarpun zina hati!

Jika tidak mampu mengikut sunnah dan ajaran Islam dalam memupuk cinta, berhentilah daripada menjalin cinta yang membawa dosa dan noda. Katahuilah, jodoh itu ada dalam tangan Allah SWT. Berdoalah, kerana doa itu senjata terakhir untuk mengubah takdir dan haluan hidup kecuali satu, iaitu MATI.

Percayalah, cinta suci yang sepatutnya kita agungkan selain cinta Allah dan Rasul adalah cinta suami. Ia merupakan cinta agung buat semua wanita dan gadis. Tidak ada dosa, tidak ada haram dalam cinta itu selagi menjadi isteri yang solehah.

Sentuhlah tangannya, PAHALA. Ciumlah pipinya, PAHALA. Layani kehendaknya, PAHALA. Ucapkan kata rindu dan kasih diiringi senyuman mesra, PAHALA. Berlembut suara bermanja, PAHALA!  Apa lagi yang ingin kita cari dalam dunia yang semakin uzur ini, wahai sahabatku, para solehah di luar sana? Bukankah pahala yang kita kejar? Bukankah syurga matlamat kita?

Tidak ada lain melainkan menjadi isteri yang sangat bahagia, itu idaman setiap insan. Dan bagi teruna soleh, gadis impian yang bakal menjadi suri hidup mereka, menjadi bidadari dalam setiap hembusan nafas zikrullah, subhanallah!

Carilah cinta suci dan cinta agung. Jauhilah cinta nafsu, sesungguhnya cinta nafsu itu melahirkan penzina. Ketahuilah, balasan Allah sangat dahsyat bagi dosa penzina.

"Sesungguhnya jahannam itu seburuk-buruk tempat menetapdan tempat kediaman. Dan orang-orang yang apabila membelanjakan(harta), mereka tidak berlebihan, dan tidak (pula) kikir, dan adalah(pembelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian. Danorang-orang yang tidak menyembah tuhan yang lain beserta Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) kecuali dengan(alasan) yang benar, dan tidak berzina, barang siapa yang melakukanyang demikian itu, niscaya dia mendapat (pembalasan) dosa(nya), (yakni)akan dilipat gandakan azab untuknya pada hari kiamat dan dia akan kekaldalam azab itu, dalam keadaan terhina." (Surah Al-Furqaan : 66-69).

Otak, Akal, Minda adalah Kurnian Allah

Segala syukur dan puji-pujian kepada Allah tuhan semesta alam. Dialah yang berhak disembah, dipuji dan dicintai. Kami berlindung kepada Allah daripada segala macam kejahatan dan tipu daya syaitan. Daripada segala dosa dan noda yang telah kami lakukan. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah semata-mata dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhamad S.A.W adalah pesuruh Allah. Selawat dan salam keatas Baginda S.A.W. Sesungguhnya barang siapa yang diberikan oleh Allah petunjuk, maka tiada siapa yang dapat menyesatkannya dan barang siapa yang disesatkan oleh Allah, maka tiada siapa yang dapat memberikannya petunjuk.

Otak, akal dan fikiran adalah suatu nikmat dan anugerah Allah S.W.T kepada manusia. Seringkali ketiga-tiga kurniaan ini diaggap sama namun hakikatnya otak, akal dan fikiran adalah suatu yang berlainan tetapi saling berkaitan. Otak ialah ciptaan Allah yang bersifat konkrit dan kelihatan. Bagi yang belajar subjek Biologi tentu biasa mendengar teori Roger Sperry yang menyatakan otak terbahagi kepada dua bahagian iaitu kiri dan kanan. Kedua bahagian ini mempunyai daya fikiran yang berbeza. Bahagian otak kanan membolehkan kita berfikir dengan kreatif dan berimaginasi sebaliknya bahagian kiri otak membolehkan kita berfikir dengan logik dan analisis.

Akal pula adalah suatu ciptaan Allah yang unik. Tidak seperti otak, ia bersifat abstrak atau tidak kelihatan. Namun, ia tetap wujud. Jika anda melihat pembedahan otak dilaksanakan, yang anda akan lihat hanyalah otak bukan akal. Akal ialah anugerah yang besar daripada Allah S.W.T kepada kita semua makhluk-Nya yang bernama manusia. Dengan akal darjat kita ditinggikan berbanding makhluk Allah yang lain seperti tumbuhan dan binatang. Dengan adanya otak dan akal barulah fikiran boleh dihasilkan.

Perumpamaan otak dan akal adalah umpama hardware dan software dalam komputer. Kita andaikan otak kita adalah hardware manakala akal ialah software. Kedua-dua unsur ini perlu digabungkan untuk berfungsi dengan baik. Seperti yang kita tahu, setiap hardware memerlukan software untuk berfungsi manakala tanpa hardware pula, software tidak dapat digunakan. Mustahil untuk menggunakan komputer tanpa software dan mustahil untuk menggunakan software tanpa adanya komputer.

Begitulah juga hubungkait antara otak dan akal manusia. Tanpa wujudnya otak, akal tidak dapat digunakan dan tanpa akal pula, mustahil otak dapat digunakan. Jika kedua-dua otak dan akal digunakan maka akan wujudlah fikiran. Dengan wujudnya fikiran maka manusia boleh berfikir. Fikiran pula wujudnya dalam dua keadaan iaitu fikiran keadaan sedar dan fikiran bawah sedar. Dari sudut ilmiah, fikiran sedar digunakan dalam empat tahap iaitu mengenal pasti maklumat, membuat perbandingan, menganalisis dan membuat keputusan terhadap sesuatu maklumat.

Maklumat dikenalpasti dengan menggunakan pancaindera kurniakan Allah S.W.T  iaitu bau, sentuhan, penglihatan, pendengaran dan perasaan/rasa). Perbandingan dilakukan dengan merujuk kepada bahan dan pengalaman setiap manusia seterusnya dianalisis sebelum fikiran memutuskan sesebuah maklumat itu. Sungguh hebat ciptaan Allah, hanya beberapa saat sahaja otak kita mampu memproses dan menerima berjuta-juta maklumat. Subhanallah. Firman Allah S.W.T:

"Yang telah menciptakanmu, lalu menyempurnakan kejadianmu dan menjadikan (susunan tubuhmu) seimbang, dalam bentuk apa yang dikehendaki, Dia menyusun tubuhmu". (Al-Infitar:7-8)

Minda bawah sedar pula adalah suatu keadaan dimana manusia berfikir diluar tahap kesedarannya. Mengikut teori pakar hipnosis, Milton Erickson, kemampuan berfikir di tahap bawah sedar adalah jauh lebih tinggi daripada fikiran sedar. Beliau menisbahkan kemampuan berfikir bawah sedar adalah sembilan kali ganda lebih tinggi daripada kemampuan fikiran sedar. Kadang-kala kita merasakan sesuatu memori itu telah dilupakan namun pada suatu ketika kita dapat mengingatinya kembali tanpa menyedari memori itu tersimpan di dalam otak. Maka ketika itu lah fikiran bawah sedar akan keluar dan digunakan.

Sesungguhnya rahsia ilmu Allah itu sangat luas dan hakikat yang sebenar hanya Allah yang lebih mengetahui. Merenung penciptaan tiga anugerah Allah bernama otak, akal dan fikiran ini akan membuatkan kita berasa kerdil nya diri kita. Biarpun kita digelar manusia terpintar didunia ini, adalah mustahil bagi kita untuk mencipta satu ciptaan yang menyamai ketiga-tiga benda ciptaan Allah ini. Moga kita menggunakannya ke arah kebaikan dan diredha Allah S.W.T bukan sebaliknya kerana kita perlu ingat siapa yang menciptakan kesemuanya.